entiti

membaca menambahkan pengetahuan,
berdiskusi mematangkan diri,
beramal membentuk diri agar lebih sempurna....
perlahan-perlahan kayuh

Monday, January 31, 2011

akukah mahasiswa ?

“Universiti bukan sekadar tempat untuk menerima segulung ijazah semata-mata, tetapi menjadi pentas untuk mereka membentuk diri menjadi manusia yang cemerlang secara holistik”Prof Datuk Dr Mohd Tajuddin Ninggal, Timb Naib Canselor (Hal Ehwal Mahasiswa & Alumni), Universiti Teknologi Malaysia.

Pada era globalisasi kini, mahasiswa perlu menyedari bahawa pencapaian cemerlang dalam akademik semata-mata bukan lagi faktor utama untuk ditawarkan bagi satu-satu pekerjaan. Hal ini kerana, penglibatan secara aktif dalam aktiviti-aktiviti berpersatuan mahupun kelab diperingkat universiti turut dijadikan elemen asas bagi kebanyakan majikan dalam memilih pekerja baharu mereka. Sebagai contoh, terkilan apabila melihat akan nasib yang diterima oleh seorang graduan universiti dengan pencapaian ijazah kelas pertama telah gagal mendapatkan pekerjaan dek kerana tidak mahir dalam menulis minit mesyuarat semasa sesi temuduga. Dengan erti kata lain, meskipun graduan universiti tersebut memperolehi pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, tetapi tanpa ilmu pengetahuan seperti format penulisan minit mesyuarat, mempengurusikan sesuatu mesyuarat dan sebagainya menyebabkan beliau tidak mendapat tempat dihati majikan sekarang. Malahan trend majikan pada hari ini lebih berminat untuk menggajikan seseorang individu yang berupaya melakukan pelbagai bidang kerja meskipun sekadar memperolehi pencapaian akademik yang sederhana.

Stigma mahasiswa pada hari ini perlu didoktrin semula bahawa melibatkan diri dalam aktiviti berpersatuan tidak boleh dianggap satu tindakan yang sia-sia. Justeru itu, mahasiswa perlu yakin dan percaya dimana dengan melibatkan diri secara aktif dalam program-program di universiti khususnya akan memberi pulangan positif untuk diri yang dapat diaplikasi pada dewasa kelak. Disamping itu, mentaliti mahasiswa yang beranggapan bahawa penglibatan mahasiswa dalam aktiviti berpersatuan akan menjejaskan pencapaian akademik perlu dikikis dan dihakis segera. Hal ini kerana, mahasiswa yang bergiat aktif ini didapati lebih bijak dalam menyusun atur jadual harian kehidupan mereka di universiti untuk memberi komitmen dengan aktiviti persatuan serta tanggungjawab menuntut ilmu yang tidak boleh dilupakan sama sekali.

Umum mengetahui, dalam menempuh dunia pasaran pekerjaan kelak, mahasiswa wajar melengkapkan diri mereka dengan pelbagai kemahiran-kamahiran insaniah seperti kemahiran komunikasi, tingkah laku, keyakinan diri dan lain-lain. Justeru itu, suka untuk memetik kata-kata Prof Dato’ Dr Ir Zaini Ujang, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, dalam bukunya Menghayati Budaya Ilmu, beliau menyifatkan bahawa graduan yang ideal ialah mereka yang memiliki kemahiran berfikir, keupayaan berhujah, kesantaian berkomunikasi mengikut pelbagai dimensi dan perseptif, pencinta ilmu dan pemburu kebenaran, berperwatakan mulia dan mahir dalam pencarian ilmu. Dengan kemahiran ini, para graduan universiti mampu mengharungi pelbagai situasi dan memasuki pasaran kerja dengan lebih selesa berbanding dengan graduan ‘pasang siap’ yang lebih menumpukan kepada beberapa kemahiran teknikal dan amalan professional tertentu yang kadangkala lemah pula dari segi kemahiran berfkir, komunikasi dan mesra ilmu. Percaya dan yakin, bahawa aspek-aspek ini amat bernilai malahan satu ‘kredit besar’ untuk graduan universiti tersebut untuk bersaing secara sihat dengan calon-calon lain terutama semasa temuduga.

Fakta yang perlu diakui, Malaysia adalah antara negara yang memiliki pulahan institusi pengaijian tinggi pada masa ini. Dengan wujudnya 20 buah institusi pengajian tinggi awam (ipta) serta penubuhan institusi pengajian tinggi swasta (ipts) yang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan telah berlakunya kadar peningkatan bilangan graduan universityi sebanyak 10% saban tahun berbanding senario pada 20 tahun yang lalu. Penambahan bilangan institusi penajian tinggi adalah satu indikator positif yang dimainkan oleh pihak kerajaan selaras dengan aspirasi nasional iaitu merancang untuk melahirkan 40% daripada warganegaranya adalah mereka yang berpendidikan tinggi menjelang tahun 2020. Disamping itu, kerajaan juga perlu melakukan peningkatan drastik terhadap peluang pekerjaan khususnya pada sektor kerajaan sejajar dengan penambahan garduan universiti pada masa kini. Dengan nada yang berbeza, penambahan 2.5% peluang pekerjaan dilihat tidak lagi mampu menampung lambakan graduan universiti yang akhirnya menyebabkan ramai graduan yang menganggur serta memberi impilaksi negatif kepada sosial masyarakat. Oleh itu, isu graduan yang ‘mundar-mandir’ mencari pekerjaan tidak boleh disalahkan keatas diri mereka semata-mata.

Percaya dan yakin, tempoh pengajian selama empat tahun di universiti bukanlah satu jangka masa yang lama. Selain daripada memberi keutamaan terhadap aspek akademik, mahasiswa wajar untuk mengambil kesempatan yang tersedia di universiti dalam mempelajari ilmu yang mampu menggilap kemahiran-kemahiran insaniah mereka. Intihannya, mahasiswa yang bijak tidak akan sekadar ‘melalui’ sahaja empat tahun kehidupannya di universiti, tetapi mereka akan ‘menikmati’ sepenuhnya akan kehidupannya disini. Renung-renungkan dan selamat beramal.

No comments:

Post a Comment