entiti

membaca menambahkan pengetahuan,
berdiskusi mematangkan diri,
beramal membentuk diri agar lebih sempurna....
perlahan-perlahan kayuh

Thursday, January 27, 2011

dunia kampus

Dalam masa terdekat ini, pilihan raya kampus (prk) akan sekali lagi diadakan bagi mahasiswa memilih wakil-wakil mereka untuk ditempatkan dalam kebinet mahasiswa diperingkat universiti. Bagi calon-calon yang telah disenaraikan untuk bertanding kali ini, sudah pasti pelbagai persiapan fizikal mahupun mental sedang dilakukan untuk menghadapi apa jua kebarangkalian yang mungkin terjadi semasa prk nanti. Rata-rata sedia maklum, bahawa prk merupakan simulasi bagi pilihan raya umum ( pru ) iaitu medan untuk memilih wakil-wakil rakyat bagi penggal baru. Justeru, tidak hairanlah apabila terdapat satu dua unsur seakan-akan senario sebenar yang berlaku semasa pru itu turut berlaku didalam prk ini. Tambahan pula, bagi mahasiswa yang begitu cakna akan isu politik kampus, mereka pasti mengetahui akan kewujudan dua buah pihak yang saling bersaing secara sihat untuk mengetengahkan wakil-wakil mereka semasa prk itu nanti.

Umum mengetahui, amanat dan mandat yang digalas oleh pemimpin mahasiswa amat mencabar. Hal ini kerana, mereka bukan sahaja diminta untuk melaksanakan kerja-kerja pentadbiran organisasi malahan fokus akademik turut perlu diberi keutamaan. Rentetan itu, pemimpin mahasiswa perlu bijak dalam menyusun atur masa mereka diantara tugasan akademik mahupun tindakan sebagai pemimpin mahasiswa. Golongan mahasiswa, perlu melihat daripada implikasi jangka masa panjang, bahawa apa yang dilalui oleh pemimpin mahasiswa sebenar bukanlah satu perkara yang merugikan semata-mata, malahan mereka ini berpeluang untuk memperolehi sesuatu aset yang jarang dikecapi oleh puluhan ribu mahasiswa yang lain.

Hakikat yang perlu diakui bahawa pemimpin mahasiswa adalah ikon terbaik kepada rakan-rakan mereka. Dalam masa yang sama, mereka juga turut dianggap duta kecil dalam mempromosikan nama universiti diperingkat nasional khususnya dan antarabangsa amnya. Rata-rata sedia maklum, suara siswa merupakan salah satu platform berkualiti dalam memberi ruang dan peluang kepada pemimpin mahasiswa universiti awam mahupun swasta untuk berkonsgsi hujah dan saling bertukar pandangan akan satu-satu isu yang dibincangkan. Terpegun melihat akan lontaran hujah yang berani daripada saudara Mohd Zaki bin Omar mengenai perihal isu festival busana muslim yang dirasmikan oleh Datin Seri Rosmah Mansor. Dalam laman blognya, beliau yang merupakan presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa, Universiti Teknolgi Malaysia dengan lantang menegur akan tatacara pemakaian isteri perdana menteri itu yang tidak selari dengan tema majlis semasa menghadiri festival tersebut. Sifat keberanian untuk berkata benar itu memang wajar dipuji oleh pemimpin mahasiswa yang lain.

Dalam era kesejagatan kini, pemimpin mahasiswa perlu bijak untuk membawa agenda dan tidak terbawa-bawa untuk mengetegahkan isu-isu remah semata-mata. Oleh hal yang demikian, pemimpin mahasiswa perlu melakukan perubahan holistik untuk membantu pentadbiran universiti bagi mengapai kecemerlangan dalam segala aspek. Tertarik melihat kehebatan pemimpin mahasiswa di universiti Havard, Amarika Syarikat dimana barisan kepimpinan mahasiswa di universiti tersebut turut sama-sama mengembleng idea bagi membantu kepimpinan negara mereka. Justeru itu, tidak hairanlah sekiranya presiden negara itu kerap ‘turun padang’ ke universiti tersebut bagi berdiskusi untuk memajukan negara. Perlu lihat disini, bahawa betapa kuatnya pengaruh pemimpin mahasiswa di universiti tersebut untuk membantu kepimpinan negara. Intihanya, pemimpin mahasiswa di universiti-universiti tempatan harus memainkan perananan yang besar bagi mencorak masa depan negara.

Pemimpin mahasiswa yang bagus adalah mereka yang tidak hanya pandai berkata-kata sahaja, tetapi mereka harus mempunyai output kerja yang memuaskan setanding dengan apa yang dibicarakan. Percaya dan yakin, bahawa pengundi juga telah matang dalam memilih wakil-wakil mereka. Kini, paras rupa bukan lagi ‘tiket’ untuk membolehkan mereka berada dikerusi empuk kabinet mahasiswa. Pengalaman kerja berpersatuan, kredibiliti diri yang ditampilkan dan pencapaian akademik yang memberangsangkan adalah elemen-elemen yang wajar diberi penilaian utama. Hakikat yang perlu diakui, bahawa tidak perlu timbul sebarang kegusaran dalam diri akan pemimpin yang dipilih semasa prk itu samada ia datang dari mana-mana pihak, tetapi perkara yang perlu dititik berat adalah karisma dan personaliti calon untuk dijadikan role model dalam pelbagai elemen kepada mahasiswa lain.

Pemimpin mahasiwa universiti akan silih berganti, tetapi nama majlis perwakilan mahasiswa akan terus kekal sebagai medium bagi melahirkan barisan kepemimpinan untuk negara kelak. Oleh itu, segalanya bergantung kepada kebijaksanaan mahasiswa/pengundi semasa memilih pemimpin mereka kelak. Bak kata pujangga, sesunggunhnya, jatuh bangunnya sesebuah negara itu kelak bergantung kepada muda mudinya pada hari ini, Saidina Ali bin Abi Talib KW. Renung-renungkan dan selamat beramal.

No comments:

Post a Comment