Pada era kesejagatan kini, dalam usaha menghambat kemajuan dan pembangunan sesebuah negara, kegiatan ekonomi dan projek-projek pembinaaan tanpa limitasi tidak dapat dielakkan oleh manusia. Intihanya, pemasalahan-pemasalahan alam sekitar akan timbul dek pelaksanaan aktiviti ekonomi serta projek pembangunan yang tidak dirancang dengan sistematik.
Umum mengetahui bahawa kesan-kesan negatif akibat proses pembangunan dan modenisasi secara terburu-buru semakin mendesak, secara tidak langsung mengakibatkan berlakunya pencemaran yang semakin berleluasa. Pada masa yang sama, impak-impak negatif ini turut menggugat kesihatan manusia, sumber-sumber ekonomi dan kemandirian bumi. Justeru, bagi mengurangkan pemasalahan yang timbul keatas alam sekitar, setiap aktiviti ekonomi dan pembangunan wajar diseimbangkan dengan usaha pengurusan yang teratur.
Masyarakat kini perlu sedar bahawa indeks pencemaran dunia kini telah mencapai pada tahap kritikal. Kesan rumah hijau, pulau haba, hujan asid, penipisan lapisan ozon adalah diantara bukti nyata bahawa bumi kini kian diancam kepupusan disebabkan pencemaran. Justeru itu, langkah-langkah penjagaan alam sekitar perlu dilaksanakan dengan segera. Bak kata pujanga, jangan terhantuk baru terngadah. Tindakan dan usaha memelihara dan memuliharaa alam sekitar perlu dimainkan oleh pelbagai pihak dan bukan hanya digalas oleh badan-badan tertentu sahaja seperti majlis pembandaran daerah disesuatu kawasan.
Rata-rata sedia maklum, bahawa pada 16 hingga 18 Disember 2009 lalu telah diadakan satu sidang perubahan iklim yang berlangsung di Copenhagen, Denmark. Persidangan yang dihadiri oleh ketua-ketua negara anggota Persatuan Bangsa Bersatu ( PBB ) telah diadakan bagi mendapatkan konsensus meluas akan tindakan proaktif yang perlu diambil pada semua peringkat untuk menangani isu perubahan iklim demi mengelakkan bencana yang boleh menimpa manusia sejagat. YAB Datuk Seri Najib B Tun Abdul Razak yang turut hadir sebagai wakil negara turut menunjukkan riaksi positif terhadap segmen Peringkat Tinggi persidangan perubahan iklim PBB ini, lantas secara tidak langsung menyatakan bahawa masyarakat di Malaysia amat memandang serius akan fenomena ini dan bersedia untuk memberi kerjasama dari masa ke masa.
Hakikat yang perlu diakui, bahawa segala kejadian baik mahupun buruk yang berlaku di muka bumi ini adalah berpunca daripada tindak-tanduk manusia itu sendiri. Sehubungan itu, timbul satu persoalan yang perlu difikirkan bersama iaitu wajarkah kita membiarkan alam sekitar terjejas begitu sahaja, semata-mata untuk mengejar kemajuan fizikal.
No comments:
Post a Comment